Ia dirangka sebagai program tambahan yang sekaligus mempunyai ciri-ciri pemulihan dan pengkayaan bagi mengisitambun kekurangan dan kelemahan dalam ‘kurikulum yang diajar’ hari ini. Pengalaman telah mengajar kita bahawa punca utama pelajar merosot dalam pelajaran ialah kerana ketiadaan kemahiran membaca. Ini mungkin berakar umbi dari kepincangan yang diwujudkan akibat sikap kita ingin menghabiskan kehendak kurikulum atau berburu-buru mengejar sesuatu peperiksaan. Terlalu kerap berlaku kes di mana pelajar yang lemah tertinggal atau pelajar yang bergeliga diabaikan. Akhirnya pelajar yang sederhana diheret beramai-ramai melalui cara belajar sedemikian, yang belum tentu boleh melahirkan pelajar yang membanggakan.
Suatu program percubaan CERAP telah dilakukan oleh Terrabaca Management (di Terengganu dan di Pahang antara 1996-2004) membuktikan tanpa kecuali bahawa pelajar yang bermula dengan kemahiran membaca yang betul, dengan menggunakan bahan bacaan menarik dalam suasana yang tidak mencengkam jiwa, berupaya melonjak keupayaan belajar mereka dalam masa yang singkat. Kami rasa sudah tiba masanya dikembangkan ‘silibus kaedah campur tangan’ ini dengan menggunakan pendekatan kemahiran membaca berstruktur, yang pasti menaikkan tahap kebolehbacaan serta pencapaian pelajar secara umumnya dalam pengajian mereka.
Kaedah coach-a-coach ini bukan sahaja dapat mencerna kemahiran membaca, malah telah sedia terbina dalam kaedah ini sistem penambahan automatik bilangan koc apakala program semakin matang. Dengan cara ini program dapat melegakan sistem pengajaran bahasa dari keperluan perbelanjaan tinggi atau kos latihan untuk guru.
Dari pengalaman kami salah satu manfaat yang timbul dari kaedah ini ialah bagaimana koc-koc yang diberi tugas melatih berjaya menaikkan kemahiran bahasa diri sendiri tatkala melaksanakan program ini. Kami dapat juga perhatikan bagaimana gembiranya dan cerianya pelajar-pelajar yang mendapat kemahiran baru ini, bagaimana mereka mula menyayangi buku, sehingga ramai yang menawarkan diri untuk terus menjadi koc walaupun sudah selesai masa yang ditetapkan buat mereka. Ini sekaligus mewujudkan perubahan mendadak dalam sikap mereka terhadap pembelajaran.
No comments:
Post a Comment